KUALA LUMPUR, 15 November - Langkah Kerajaan Persekutuan melaksanakan rundingan semula pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah disifatkan sebagai perkembangan penting yang dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan negeri itu.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ikmal Hisham Md.Tah berkata , ia sekali gus turut membuktikan komitmen tulus Kerajaan Persekutuan dalam mengiktiraf keperluan serta hak negeri berkenaan di bawah Perlembagaan.
Tambah beliau, lembaran baharu itu diyakini mampu memperkukuh serta menggalakkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah terutamanya daripada segi aspek pembaikian infrastruktur, pembangunan, manfaat dalam pelbagai rancangan jangka panjang di antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.
"Dan menerusi rundingan ini kita akan dapat lihat bagaimana Kerajaan Persekutuan mempunyai niat yang baik. Demi kemajuan rakyat Sabah dan negeri tersebut," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan sentimen negatif yang cuba mengelirukan isu berkenaan.
Sebaliknya, perkara itu perlu dilihat berlandaskan fakta yang tepat serta selaras dengan keluhuran perlembagaan.