KUALA LUMPUR, 15 November – Lebih 1,500 penduduk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Parlimen Bandar Tun Razak, dengan 650 penerima terdiri daripada keluarga B40, warga emas, ibu tunggal, OKU dan kanak-kanak menerima bantuan tunai sempena perayaan.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sambutan seumpama itu memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih saling mengenali, memahami dan menghargai perbezaan agar rakyat terus bersatu sebagai satu komuniti besar yang berkongsi tanah air sama.
"Kita mahu bersama-sama membina kejayaan sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa. Meskipun masyarakat India merupakan minoriti, mereka tetap sebahagian daripada kita. Yang penting, kita semua adalah rakyat Malaysia," katanya.
Katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di sini.
Beliau yang juga isteri Perdana Menteri menegaskan, perpaduan sebenar hanya dapat dicapai apabila rakyat melihat, mengenali dan menghormati satu sama lain sebagai sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.
Selain itu, beliau turut menarik perhatian tentang realiti kehidupan masyarakat bandar yang masih terkesan, meskipun tinggal di kawasan yang kelihatan moden dan pesat membangun.
"Kita nampak Kuala Lumpur elok dengan menara tinggi, tetapi lebih 30 peratus isi rumah bandar masih dalam kelompok B40. Hampir 12 peratus komuniti India juga memerlukan pertolongan kerana berada dalam kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana rendah," katanya lagi.
Jelasnya, program turun padang dan bantuan perayaan seperti ini membantu mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada golongan yang memerlukan, selain menyantuni masyarakat secara lebih menyeluruh.
Beliau turut menyentuh usaha berterusan kerajaan untuk melindungi rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti Payung Rahmah, Skim Perumahan MADANI, Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selaras dengan komitmen memastikan tiada golongan tercicir.
Beliau juga mengingatkan bahawa sambutan perayaan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai acara hiburan atau makan-makan, sebaliknya sebagai landasan untuk membina masyarakat yang saling menyokong dan menjaga keharmonian.
Datuk Seri Dr Wan Azizah turut menyeru rakyat supaya meneruskan semangat cahaya Deepavali dalam kehidupan seharian sebagai cahaya perpaduan, kasih sayang dan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia.