KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan kononnya sejumlah RM20 juta dibelanjakan bagi proses penjenamaan semula institusi itu.
Dalam kenyataannya hari ini, TH menegaskan tuduhan tersebut tidak benar sama sekali, malah merupakan fitnah.
Menurut TH, peruntukan sebenar bagi proses peremajaan jenama hanyalah RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun.
“Langkah ini penting bagi memperkukuh jenama serta menarik minat umat Islam menabung secara sistematik, selaras dengan perubahan demografi masyarakat Islam di negara ini,” jelas kenyataan itu.
Sehingga kini, TH memaklumkan terdapat 9.6 juta pendeposit, dengan lebih 80 peratus transaksi kewangan dilakukan secara digital.
Bagaimanapun, lebih separuh daripada jumlah itu memiliki simpanan kurang RM1,300, sedangkan kos menunaikan haji bagi kumpulan B40 pada tahun 2025 dianggarkan mencecah RM15,000 seorang.
Sehubungan itu, TH sedang merancang kempen baharu bagi menggalakkan umat Islam menabung lebih awal, secara konsisten dan sistematik, bagi meningkatkan simpanan ke tahap yang membolehkan mereka menunaikan ibadat haji.
Kenyataan turut memaklumkan, Lembaga Pengarah TH telah memutuskan untuk mengkaji semula strategi institusi berkenaan supaya kekal berdaya saing, memberi perkhidmatan terbaik serta menarik lebih ramai pendeposit, khususnya golongan muda.