BATU KURAU, 16 OGOS - Kerajaan sentiasa menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara termasuk pembangunan industri tenusu tempatan bagi memastikan sektor itu terus berkembang maju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertanian moden mesti dijadikan teras pembangunan negara bagi menjamin bekalan makanan mencukupi.
“Dulu ada syarikat besar luar negara yang tidak percaya Malaysia boleh hasilkan produk tenusu berkualiti. Hari ini syarikat tempatan (Farm Fresh) bukan lagi syarikat kecil, malah sudah menembusi pasaran serantau termasuk Kemboja. Ini bukti pertanian moden dengan teknologi dan pengurusan baik mampu mencipta kejayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Tenusu MADANI di Pondok Tanjung, hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata, sokongan kerajaan bukan sekadar dana dan pelaburan, sebaliknya termasuk kelulusan serta kerjasama dengan kerajaan negeri bagi mempercepatkan pembangunan sektor itu.
Menurutnya, kerajaan melalui Khazanah Nasional turut menyokong pembangunan syarikat tempatan sehingga mampu membangunkan teknologi baharu dan menyumbang kepada ekonomi serta tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
“Saya mendapat taklimat awal tahun 2023 daripada Khazanah Nasional mengenai potensi besar Farm Fresh. Pada mulanya dianggap sebagai start-up, kini ia berkembang pesat dengan hala tuju jelas, teknologi baik serta tanggungjawab sosial korporat yang menyantuni rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha memperkukuh pertanian moden akan diteruskan termasuk membantu petani kecil, pesawah dan nelayan tanpa mengira negeri atau fahaman politik.
“Apa yang selalu saya tekankan ialah masa ada kuasa, Allah bagi kita amanah. Masa itulah kita kena fikir sebaik mungkin bagaimana nak bantu negara dan rakyat,” katanya.