KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Sebanyak 17,245 kandungan berita palsu berjaya diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang 2024, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 5,367 pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata setakat 1 Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 16,110 kes telah direkodkan sekali gus membuktikan penularan maklumat tidak sahih semakin membimbangkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching / Foto Bernama
"Lebih membimbangkan, penipu kini menggunakan AI untuk menghasilkan video dan suara palsu bagi memperdaya mangsa. Ini bukti bahawa teknologi membawa peluang tetapi juga ancaman baharu. Maka saya mengingatkan semua "Tidak pasti, jangan kongsi"," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia bagi tahun 2025 di ibu negara.
Menurut beliau, kementerian mengambil langkah proaktif mengekang penularan berita palsu dengan memperkenalkan pelbagai platform semakan fakta termasuk Biar Betul di RTM, portal Sebenarnya.my serta Chatbot AI AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant).
Sejak dilancarkan pada 28 Januari lalu, AIFA telah menerima 142,257 mesej setakat 31 Julai 2025, bersamaan purata hampir 769 mesej sehari, melibatkan pelbagai bahasa termasuk Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
Teo menegaskan, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk membantu masyarakat dan pengamal media menyemak fakta dengan pantas, mengenal pasti sumber sahih serta meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian.