ALOR SETAR, 20 November- Tindakan Israel ke atas rakyat Palestin kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Menteri Pertanian Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melihat angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mencecah 13,000 orang, termasuk lebih 5,500 kanak-kanak dan 3,500 wanita.
Manakala jumlah kecederaan pula dianggarkan melebihi 30,000 orang dengan lebih 75 peratus daripada mereka kanak-kanak dan wanita.
Selain itu, 83 masjid musnah sepenuhnya dan 166 lagi rosak manakala tiga gereja turut menjadi sasaran serangan Israel.
"Saya melihat negara-negara di Amerika Latin dan Afrika mula mengkritik dan memutuskan hubungan dengan Israel serta menghalau duta Israel dari negara masing-masing.
"Ini termasuk kerajaan Ireland yang mengkritik keras tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim zionis," kata Mohamad pada Majlis Solidariti Palestin: Sejarah dan Geopolitik Palestin yang diadakan di Hotel Seri Malaysia di sini.
Pada masa sama, Mohamad juga bersedih apabila negara-negara Arab dan Islam di rantau tersebut masih mengekalkan hubungan diplomatik dan membekalkan minyak, gas serta bekalan makanan setiap hari kepada Israel.
Beliau juga mahukan rakyat Malaysia untuk terus mengirimkan doa buat seluruh rakyat Palestin.