fb fb fb fb fb

Selangor catat kes keganasan rumah tangga tertinggi

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 20 November- Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga yang tertinggi di Malaysia iaitu 4,690 kes berbanding negeri lain bagi tempoh 2020 hingga Ogos 2023.

Susulan itu, kerajaan Selangor melancarkan kempen 'Bangkit! Melawan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak'.

Menurut Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri Selangor, Anfaal Saari, kempen itu sebagai satu langkah advokasi mendidik masyarakat secara berterusan agar lebih cakna, sedar dan faham tentang bentuk keganasan mental dan fizikal terhadap wanita dan kanak-kanak.

"Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di Selangor.

"Daerah yang mencatatkan kes tertinggi adalah di Gombak sebanyak 147 kes diikuti dengan daerah Kajang sebanyak 91 kes dan Petaling Jaya sebanyak 79 kes.

"Menurut kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi penderaan dan pengabaian kanak-kanak pula, sebanyak 2,959 kes dilaporkan dari Januari hingga Mei 2023," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program sempena Kempen 16 hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender di bangunan Annex, di sini.

Jelasnya, naratif pencegahan itu perlu dibina di setiap peringkat dengan kerjasama dan komitmen kolektif semua pihak.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM