fb fb fb fb fb

Terowong TRX dibuka Rabu depan, kurangkan kesesakan trafik sehingga 30 peratus

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) melihat pelan ketika mengadakan lawatan kerja di sekitar Tun Razak Exchange (TRX) / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 November - Terowong bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) sepanjang lima kilometer yang akan dibuka Rabu depan dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di kawasan sekitarnya sehingga 30 peratus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata terowong tersebut merupakan sebahagian daripada infrastruktur yang disediakan bagi menyokong pembangunan TRX sebagai pusat kewangan negara.

"Setakat ini saya difahamkan semuanya sempurnalah. Banyak jaringan seperti Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dan sebagainya boleh diakses melalui terowong ini dan memudahkan perjalanan, masuk ke kawasan ini dan juga keluar dari kawasan ini.

"Sudah tentunya pembangunan disini akan memberi satu suntikan yang sangat penting bagi kita merancakkan ekonomi setempat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau infrastruktur jalan raya di sekitar TRX, di sini.

Terowong TRX yang dibina oleh Gadang Engineering (M) Bhd dan WCT Berhad, terdiri daripada dua aras dikhaskan untuk lalu lintas kenderaan dan satu aras bagi perkhidmatan utiliti.

Rangkaian jalan raya terowong TRX akan turut menghubungkan kawasan TRX kepada 12 lebuh raya serta jalan utama seperti Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN