fb fb fb fb fb

Teroka, terap budaya STIE dalam kalangan ahli akademik - MOSTI

(Penerima anugerah AKIRA 2022 menerima hadiah masing-masing di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah malam tadi)

TANJUNG MALIM, 6 Oktober - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyeru ahli akademik di negara ini meneroka dan mengaplikasikan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini khususnya dalam Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata perubahan itu perlu menggunakan pendekatan Quintuple Helix iaitu gabungan melibatkan kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

Katanya, ini bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif.

"Hanya melalui kerjasama yang erat dan inklusif, kita dapat melahirkan mahasiswa dalam bidang pendidikan yang cakna dunia teknologi terkini seterusnya dapat menyumbang kepada pembentukkan minda generasi baharu yang akan mencorak revolusi digital dan teknologi negara di masa hadapan," katanya pada Majlis Anugerah Akademia Bitara (AKIRA 2022) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di sini, semalam.

Memetik laporan berita sebelum ini, beliau berkata dianggarkan lebih 4.5 juta pekerjaan di negara ini akan pupus (obsolete) menjelang 2030 akibat ancaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML).

(Datuk Arthur Joseph Kurup menyampaikan replika cek RM10,000 kepada
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Prof Madya Dr Charanjit Kaur)


Sehubungan itu, beliau menyatakan terdapat lima bidang pekerjaan yang akan menjadi keutamaan dalam industri termasuklah Pakar Data Raya (Big Data), Jurutera Pembelajaran Mesin (Machine Learning), Pakar Kecerdasan Buatan (A.I), Saintis Data dan Pembangun Kecerdasan Perniagaan.

Selain itu, Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) turut menjadi antara kemahiran yang diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini termasuklah pemikiran kreatif, pemikiran analitik, Celik teknologi serta kecerdasan buatan AI.

Justeru, katanya MOSTI bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Ekonomi akan memperhalusi strategi secara menyeluruh dalam memastikan pembangunan modal insan yang adaptif bagi memenuhi keperluan bidang STIE.

“Saya berharap penerima-penerima anugerah pada hari ini melibatkan diri secara langsung dalam program-program anjuran MOSTI serta membantu menjayakan agenda pendigitalan pendidikan dan membudayakan teknologi serta inovasi,” katanya.

AKIRA 2022 menyaksikan sebanyak 50 kategori anugerah disampaikan kepada 53 akademia sebagai pengiktirafan dan sanjungan berikutan membina kegemilangan Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI).

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sumbangan yang dilakukan akademia dan pentadbir akademik sangat bermakna dalam mengangkat nama UPSI bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.



Media Baharu