fb fb fb fb fb

Jambatan Bailey akan dibina di Kampung Lungkidau

(Keadaan jambatan di Kampung Lungkidau yang runtuh tahun lalu)

RANAU, 6 Oktober- Jambatan Bailey akan dibina di Kampung Lungkidau di Ranau, Sabah bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat hujan lebat dan banjir, awal tahun lepas.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembinaan jambatan berkenaan lebih cepat, selain mampu menampung bebanan sehingga 15 tan berbanding jambatan sebelum ini iaitu hanya lima tan.

Projek pembinaan jambatan sepanjang 105 meter itu akan dimulakan segera apabila semua proses perolehan diselesaikan.

"Kabinet telah bersetuju dengan alternatif untuk pembinaan jambatan Bailey yang boleh siap segera. Namun diminta KKR (Kementerian Kerja Raya) untuk semak.

"Atas sebab itu, saya ambil inisiatif untuk datang sendiri bersama wakil JKR (Jabatan Kerja Raya) Sabah dan JKR daerah untuk bertanya dan melihat sama ada sesuai atau tidak jambatan Bailey dipasang.

"(Ini kerana) kita tidak mahu apabila dipasang (nanti), akhirnya kalau tidak sesuai ia tidak penuhi keperluan masyarakat di sini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan pembinaan jambatan itu di sini.

Jambatan sebelum ini dibina Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2017 dan rosak pada tahun 2020 akibat hujan lebat dan tanah runtuh.

Kerosakan jambatan itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melawat kawasan tersebut semasa Kembara Kenali Borneo, bulan lalu.

(Armizan Mohd Ali)

Media Baharu