fb fb fb fb fb

150 asnaf di Perlis dibantu menerusi Program Pembangunan Insan Terpilih Madani

ARAU, 6 Oktober- Program Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) di Perlis melibatkan 150 keluarga asnaf terpilih bagi membantu melonjakkan pendidikan dan ekonomi golongan asnaf di negeri itu.

Sebagai permulaan, sebanyak 50 keluarga asnaf akan mendapat bimbingan dan latihan untuk tempoh lima bulan daripada 50 Ketua Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih (KPPIM) yang terdiri daripada guru kaunseling sekolah-sekolah seluruh Perlis serta rakan pemangkin pelajar UniMAP.

Menurut Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Prof Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, setiap permasalahan perlu diselesaikan dari akarnya.


(Majlis Perasmian Program Pembangunan Insan Terpilih Madani di UniMAP Pauh Putra, Arau)

Beliau berkata program sebegini untuk memperkasa guru-guru kaunseling demi mengubah kehidupan keluarga asnaf berkenaan.

"Program ini akan melalui tiga fasa bermula dengan fasa 1 iaitu Bengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani yang melibatkan guru-guru kaunseling di Perlis dan diikuti Bengkel Intensif Pembangunan Insan Terpilih Madani melibatkan Ketua Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih", katanya.

"Manakala bagi fasa ketiga, pelaksanaannya menerusi Bengkel Pembangunan Insan Terpilih yang akan mempraktikkan modul turun padang ke rumah asnaf bagi melihat sendiri potensi setiap asnaf yang akan dibimbing", katanya.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Insan Terpilih Madani di UniMAP Pauh Putra, Arau.

Program dianjurkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melibatkan 50 Ketua Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih (KPPIM) terdiri daripada guru kaunseling sekolah-sekolah seluruh Perlis serta rakan pemangkin daripada UniMAP.

Media Baharu