fb fb fb fb fb

Jenazah tiga penunggang motosikal maut dituntut keluarga

(Suasana hiba menyelubungi bilik mayat hospital HSNZ)

DUNGUN, 6 Oktober – Jenazah tiga penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 333.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), arah Kuantan tengah malam tadi dituntut ahli keluarga petang tadi.
 
Jenazah Muhammad Syah Run Nizam Jaafar, 20 tahun, Muhammad Fitri Hanif Rohaimi, 18 tahun dan Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17 tahun dituntut ahli keluarga masing-masing di Unit Forensik Hospital Dungun 1.00 petang tadi.
 
Sebelum itu, ketiga-tiga mangsa selesai menjalani proses bedah siasat yang dilakukan pakar perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 8.00 pagi.
 
Kira-kira seratus ahli keluarga termasuk rakan-rakan mangsa hadir memberi penghormatan terakhir di bilik mayat hospital berkenaan.
 
Kesemua jenazah terbabit kemudiannya disembahyangkan sebelum dituntut dan dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.

(Jenazah tiga penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di LPT2)

Jenazah Muhammad Syah Run Nizam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Seri Bandi, jenazah Muhammad Fitri Hanif di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kuang dan jenazah Ahmad Osama di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Mentok selepas solat Jumaat.
 
Dalam kemalangan kira-kira 12.00 tengah malam tadi, kesemua mangsa yang terlibat dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kemaman selepas selesai menikmati nasi lemak di Hentian Rawat & Rehat (R&R) Paka.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa dikatakan tidak sempat mengelak sebelum melanggar sebuah motosikal lain yang terjatuh di lebuhraya itu.

Kemalangan itu membabitkan enam buah motosikal lain sebelum susur keluar Plaza Tol Paka pada tengah malam tadi.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
 
 

Media Baharu