fb fb fb fb fb

Terengganu bangunkan sistem e-Tanah

KUALA LUMPUR, 29 Jun - Terengganu bakal menjadi negeri keempat membangunkan sistem pentadbiran tanah secara elektronik (e-Tanah) selepas memeterai perjanjian konsesi sistem itu dengan kerajaan Persekutuan, hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pembangunan sistem berkenaan dijangka selesai dalam tempoh dua tahun dan mula diguna pakai menjelang 2024 dengan tempoh pengoperasian selama 12 tahun.

“Pada 2021, Sistem e-Tanah Kerjasama Awam Swasta telah berjaya dibangunkan dan diguna pakai di Perak bermula 11 Feb 2021 serta Wilayah Persekutuan bermula 29 Okt 2021.

“Selain itu, perjanjian konsesi juga telah dimeterai dengan kerajaan Selangor dan kini dalam proses pembangunan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Terengganu dan syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd di sini hari ini.


(Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah
antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Terengganu dan syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd)

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Rosli Isa.

Takiyuddin berkata pada tahun ini, KeTSA menyasarkan untuk menyempurnakan pemeteraian perjanjian konsesi dengan negeri lain termasuk Terengganu supaya pembangunan sistem di negeri-negeri itu dapat dimulakan dengan segera.

Menerusi perjanjian itu, Puncak Tegap Sdn Bhd bertanggungjawab melaksanakan dan menanggung semua kos pembangunan serta penyelenggaraan projek sepanjang tempoh konsesi selama 14 tahun, iaitu dua tahun pembangunan dan 12 tahun operasi. -BERNAMA

Media Baharu