fb fb fb fb fb

Terap dan perkukuh nilai murni dipelbagai peringkat

Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong, Fakhrul Anwar Ismail

KANGAR, 24 Disember - Pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan di peringkat kampung dalam usaha mengangkat, menerap dan memperkukuhkan nilai murni serta semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Ini termasuklah menerusi pelaksanaan Program Semarak Komuniti bersama agensi kerajaan dan persatuan penduduk bagi meningkatkan medium interaksi antara kedua-dua pihak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong, Fakhrul Anwar Ismail hubungan baik antara komuniti perlu sentiasa dipertingkatkan dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, kaum serta agama.

"Setiap penduduk mempunyai tanggungjawab masing-masing dan dalam kehidupan seharian kita saling memerlukan antara satu sama lain agar setiap permasalahan dapat diselesaikan secara bersama bagi mengharmonikan kehidupan.

"Kami merakamkan terima kasih kepada agensi yang terlibat menjayakan program. Begitu juga orang kampung lah yang saya rasa menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan program yang dianjurkan. Mudah-mudahan apa yang disusun dan juga diharapkan daripada pihak penganjur dapat dicapai dalam program pada kali ini,"kata Fakhrul
dalam Program Semarak Komuniti di Kampung Abi Padang Machang yang dianjurkan Persatuan Penduduk Kampung Abi Padang Machang yang disertai lebih 200 penduduk setempat.

Bersempena program itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuklah taklimat serta demonstrasi pemadaman kebakaran dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), taklimat dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta penyampaian 60 bakul makanan kepada golongan kurang berkemampuan.

TETITIA YUSOFF