KANGAR, 24 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menjangkakan akan berlaku kenaikan harga bawang besar dan bawang merah yang diimport dari Pakistan dan India di Perlis selepas perayaan Krismas ini.
Jangkaan itu berdasarkan pemantauan yang dilakukan pegawai penguat kuasa KPDN dan pegawai pemantau harga di beberapa pasar dengan kenaikan antara 10 hingga 15 peratus.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri, Farah Adlina Ropaie bermula semalam hingga 27 Disember ini, harga bawang besar dan merah antara sembilan barangan kawalan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Krismas.
Ketika SHMMP dilaksanakan, harga bawang besar dan bawang merah dijual antara RM4 hingga RM5 sekilogram iaitu bawah harga kawalan dengan para peniaga mematuhi harga ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan SHMMP.
"Selepas perayaan ini kita tengoklah macam mana. Selalunya antara RM5 ke RM6 selalunya lah, tiada banyak beza pun, mungkin sebab faktor cuaca, jadi bekalan itu susah untuk dapatkan sikit lah. Tetapi di negeri Perlis memang bekalan itu terkawal," kata Farah Adlina kepada media ketika Pemeriksaan dan Pemantauan Sempena Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2023, di sini.
Pada hari pertama pelaksanaan SHMMP pegawai penguat kuasa telah melaksanakan pemeriksaan terhadap tiga pemborong dan 107 peruncit dan mendapati peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.