BAU, 19 April- Tentera Darat Malaysia TDM berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan lobak merah di Sektor Op AWAS/KERIS PARANG, Bau Sarawak awal pagi tadi.
Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur TDM menerusi satu kenyataan memaklumkan sepasukan TDM yang sedang melakukan rondaan di Ladang Kelapa Sawit Empaling Kampung Kampung Stass Bau telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda pada pukul 2.50 pagi, yang membawa muatan bertutup cuba memasuki Indonesia menggunakan jalan tidak sah.
"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tempatan berumur 22 dan 24 tahun dalam kenderaan tersebut telah membawa muatan sebanyak 53 kotak berisi lobak merah yang dianggarkan bernilai RM3,100 untuk diseludup ke Indonesia.
"Lobak merah dan kenderaan tersebut telah dirampas dan diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bau untuk tindakan selanjutnya,"menurut kenyataan tersebut.
TDM akan terus memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia/Indonesia bagi memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin, kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.