KUALA LUMPUR, 19 April- Malaysia bimbang dan kecewa susulan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semalam untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai anggota penuhnya pada 18 April 2024, walaupun terdapat sokongan daripada sebahagian besar negara anggota.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan veto ke atas perkara tersebut telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB untuk merealisasikan hak rakyat Palestin.
"Ini termasuk juga dengan hak menentukan nasib mereka sendiri ekoran pendudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis sejak 1967.
"Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagal ibu negaranya.
"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di PBB,"jelas kenyataan Wisma Putra.
Terdahulu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto bagi menolak usul Majlis Keselamatan PBB untuk mengiktiraf negara Palestin.
Lima belas ahli majlis berkumpul di New York bagi mengundi draf resolusi yang dikemukakan oleh Algeria yang mengesyorkan kemasukan negara Palestin untuk menjadi ahli PBB.
Keahlian itu disekat selepas 12 menyokong manakala dua berkecuali, termasuk United Kingdom dan Switzerland.
Sebelum pengundian itu, perwakilan Algeria ke PBB Amar Bendjama berkata sudah tiba masanya Palestin mendapat tempat yang sepatutnya dalam kalangan masyarakat negara dan mencari keahlian PBB adalah ekspresi asas bagi penentuan nasib Palestin.
Resolusi majlis memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi memihak dan tiada kuasa veto oleh anggota tetap iaitu AS, Britain, Perancis, Rusia atau China untuk diluluskan.
Permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat susulan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan 7 Oktober lepas, yang telah mengorbankan hampir 34,000 nyawa.