JOHOR BAHRU, 19 April- Kerajaan Johor memperincikan tiga agenda utama menerusi mesyuarat khas pembangunan negeri yang telah dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Forest City, semalam.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi kenyataannya berkata mesyuarat khas berkenaan antaranya memperincikan mengenai kedudukan terkini kerangka polisi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).
Katanya, turut dibincangkan, prosepek pelabur-pelabur yang menyatakan minat, lokasi pilihan selain sektor perniagaan serta insentif dan pakej pelaburan yang sesuai untuk ditawarkan selain kepentingan Penubuhan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang berperanan menyediakan khidmat rundingan serta memudahkan segala urusan perniagaan khususnya bagi negeri Johor.
Katanya, Kerajaan Persekutuan menerusi SFZ turut memberikan sokongan penuh kepada pembangunan Forest City dalam merancakan ekonomi di negeri itu.
Datuk Onn Hafiz menambah banyak perkara positif diraih hasil mesyuarat semalam dan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan yang teguh menyatakan komitmen membantu negeri ini menjayakan usaha pembangunan tersebut dengan berkesan.