KUALA LANGAT, 28 Oktober- Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat Kuil Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom, Kuala Langat sempena Program Ziarah Kasih Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Pekawanis 2.0 anjung Selatan Selangor, malam tadi.
Ketibaan Tengku Permaisuri Selangor diiringi Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhammad.
Ketibaan baginda turut disambut Exco Pelaburan, Ng Sze Han dan Exco Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu.
Masdiana dalam sembah ucapannya berkata, sebanyak RM196,100 diperuntuk bagi bantuan sempena sambutan Deepavali pada tahun ini.
Jelas beliau, dana kepada 53 Dewan Undangan Negeri dan Parlimen tersebut memberi manfaat kepada 1,060 masyarakat India di negeri Selangor.
Menerusi program Ziarah Kasih Pekawanis semalam, seramai 100 individu dari Shah Alam, Banting, Sungai Pelek, Tanjung Sepat dan Dengkil menerima bantuan.