PADANG NYIRU, 28 Oktober- Kedatangan pesta cahaya diraikan lebih awal di Melaka malam tadi dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung di kawasan zon bebas kenderaan Banda Hilir.
Pelbagai juadah tradisional masyarakat India disediakan antaranya capati, apom, putu mayam dan vadei.
Majlis turut diceriakan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian selain rata-rata pengunjung yang hadir memakai pakaian tradisional India seperti sari, lehenga dan kurta.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sempena Deepavali tahun ini, sebanyak RM200,000 sumbangan diperuntukkan kepada 1,000 penerima masyarakat India bagi meraikan pesta cahaya.
“Kita meraikan masyarakat India untuk menyambut hari Deepavali pada 31 haribulan ini dengan keraian yang diberikan dengan kerjasama persatuan NGO kerajaan negeri menyokong dan mengeluarkan bajet RM200,000 untuk 1,000 orang penerima daripada kaum India pada malam ini.
"Nampaknya sambutan pada malam ini agak jauh lebih baik pada tahun lepas dan kita dapati pengisiannya pun amat bermakna saya ucapkan terima kasih pada Datuk VP Shanmugam kerana telah berjaya menguruskan masyarakat india di negeri melaka ini lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Deepavali 2024 Peringkat Negeri Melaka, di Padang Nyiru, Melaka.
Pesta dimeriahkan dengan kehadiran pengunjung pelbagai kaum.