KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli melancarkan APU Smile Fest: Euphoria Expedition bertemakan "Ekspedisi Menjuarai Kesihatan Mental, Kecergasan dan Kemampanan".
Program yang berlangsung di kampus APU di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil itu merupakan program komuniti yang diterajui pelajar Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU).
Berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 5 Oktober 2024, festival tersebut memfokuskan kepada kesejahteraan mental, kecergasan fizikal di samping menyokong kebajikan dan kemampanan haiwan.
Inisiatif itu sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG3): Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik; menampilkan siri aktiviti yang bertujuan untuk menggalakkan kesihatan mental dan kecergasan fizikal.
Ketua Pegawai Eksekutif APU, Datuk Parmjit Singh berkata; penglibatan aktif para pelajarnya dalam inisiatif seumpamanya bukan sahaja dapat membina keperibadian pelajar serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
Malah, secara tidak langsung ia juga mempamer semangat perkhidmatan dan kelestarian, yang menjadi teras kepada nilai universiti berkenaan.
APU Smile Fest antara lain memberi tumpuan kepada usaha menyokong kebajikan dan kemampanan haiwan, yang mencerminkan komitmen APU sekian lama melalui penglibatan pelajarnya sebagai sukarelawan aktif untuk Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, yang dinaungi Tengku Permaisuri Selangor selaku Penaung Diraja.
Pada majlis sama, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM20,000 bagi menyokong SPCA dan inisiatif lain yang berkaitan.
Program itu termasuk bazar di kampus sepanjang dua hari pertama, yang menawarkan pelbagai gerai dan aktiviti interaktif.
Acara penutup diisi dengan program larian malam pada hari terakhir festival.