KOTA BHARU, 27 Ogos - Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, hari ini berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Pengurniaan Kerusi Roda, Sijil Tamat Latihan dan Sumbangan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) Asnaf Negeri Kelantan 2025.
Majlis anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melalui Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (PTOKU) USM–MAIK itu berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Kota Bharu.
Turut hadir Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr Shaiful Bahari Ismail.
Menurut kenyataan Pusat Media dan Perhubungan Awam, Pejabat Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, USM, seramai 330 penerima diraikan pada majlis tersebut, merangkumi 250 penerima sumbangan daripada Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan, 30 penerima kerusi roda serta 50 pelatih OKU yang menamatkan latihan di bawah Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM) hasil tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui inisiatif Belanjawan 2024.
"Sebahagian besar graduan program berkenaan kini telah diterima bekerja di pelbagai sektor yang mengiktiraf sumbangan tenaga kerja OKU," tambah kenyataan itu.
Penganjuran program adalah selaras dengan misi USM sebagai universiti penyelidikan dan pendidikan terunggul, sejajar dengan visinya untuk memberi impak positif dan lestari kepada masyarakat serta alam sekitar, termasuk golongan OKU.
Sebagai pusat sehenti, PTOKU USM–MAIK telah ditubuhkan pada tahun 2018 hasil sumbangan hampir RM1 juta daripada MAIK melalui Dana Wang Ehsan Negeri Kelantan (WENK).