fb fb fb fb fb

Malaysia anjur Sidang Kemuncak RCEP pertama pada Oktober

Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang pertama pada Oktober depan, selari dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran sidang kemuncak itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menilai pelaksanaan RCEP, mempercepatkan kerjasama serta menunjukkan komitmen Asia dalam mempertahankan keterbukaan ekonomi.

"RCEP tidak boleh sekadar menjadi teks undang-undang di atas kertas. Ia perlu dihidupkan dengan iltizam politik," katanya dalam ucapan pada Meja Bulat Kuala Lumpur Mengenai Kerjasama Serantau Asia Pasifik di Forum BOAO Untuk Asia, di sini.

RCEP merupakan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia, merangkumi 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, dengan penyertaan 15 negara termasuk 10 negara ASEAN.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, rundingan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) telah selesai dan akan dibentangkan kepada para pemimpin pada Oktober.

Versi baharu ACFTA itu merangkumi aspek ekonomi digital, pertumbuhan hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan, piawaian teknikal serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kemakmuran hari ini bukan hanya bergantung kepada perdagangan adil, tetapi juga kepada aliran data, platform digital dan peralihan tenaga lestari," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM