SHAH ALAM, 22 September - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memaklumkan bahawa anakanda baginda, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz pada 2 Oktober ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memaklumkan Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
"Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja dijadualkan berlangsung di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober depan," menurut kenyataan itu.
Bagi menyemarakkan keberkatan majlis, satu bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September di seluruh masjid di Selangor, anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pada tarikh sama, Sultan Selangor bersama Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.