Pasukan Petugas Khas LPQB ditubuh teliti hala tuju program kerani berartikel

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran / Foto BERNAMA

PARLIMEN, 9 Februari – Kerajaan mengambil inisiatif proaktif bagi meneliti hala tuju dan memperkasa program kerani berartikel dalam profesion undang-undang menerusi penubuhan pasukan petugas khas oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB).

RINGKASAN BERITA AI
  • LPQB menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji hala tuju dan penambahbaikan program kerani berartikel.
  • Pasukan terdiri daripada pakar institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk memastikan kepakaran menyeluruh.
  • Tempoh kajian ditetapkan sehingga lapan bulan sebelum pembentangan kertas cadangan kepada LPQB.
  • Sesuaikan kurikulum, pedagogi dan standard program agar memenuhi keperluan semasa profesion undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, berkata langkah itu diambil untuk memastikan program kerani berartikel memenuhi standard serta kualiti pendidikan undang-undang yang selari dengan keperluan semasa profesion berkenaan.

“LPQB telah bersetuju secara dasar untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengkaji penambahbaikan yang telah dilaksanakan dan mengkaji pembangunan kurikulum dan pedagogi serta standard program yang bersesuaian demi memastikan program kerani berartikel mencapai standard dan kualiti pendidikan undang-undang yang dikehendaki oleh Profesion undang-undang pada masa ini.”

“Pasukan petugas ini akan terdiri daripada pakar-pakar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, pasukan petugas khas berkenaan diberi tempoh sehingga lapan bulan untuk menjalankan kajian berkenaan, sebelum kertas cadangan lengkap dibentangkan kepada LPQB untuk pertimbangan dan kelulusan.

Jelasnya lagi, walaupun fungsi statutori LPQB perlu terus dilaksanakan selagi tiada pindaan undang-undang dibuat, kerajaan melihat keperluan untuk kajian menyeluruh dilakukan sebelum sebarang pelaksanaan baharu dapat dimuktamadkan.

Usaha itu merangkumi siri sesi libat urus bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi meneliti hala tuju program kerani berartikel secara menyeluruh.