MARANG, 2 Mac-Seorang kakitangan pusat tahfiz dari Shah Alam, Selangor meninggal dunia selepas ditemukan lemas ketika mandi pantai di sebuah resort, di sini dalam kejadian yang berlaku pagi tadi.
Mangsa, Nabil Husaini Halimun Nawar, 22 dikatakan mandi pantai bersama beberapa pelajar selepas selesai mengadakan aktiviti sukaneka di lokasi tersebut sebelum dihanyutkan ke tengah laut.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, ketika kejadian, mangsa cuba diselamatkan oleh kakitangan resort tersebut namun telah meninggal dunia.
Menurut Zain, mangsa bersama 35 pelajar dan 6 guru tiba di Terengganu 26 Febuari lalu bagi menyertai kem smart al-quran pemantapan iman yang berakhir hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
Beliau memberi peringatan kepada semua pengunjung agar tidak melakukan sebarang aktiviti berhampiran pantai memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
(Mayat kakitangan Pusat Tahfiz yang lemas ketika mandi di pantai Marang/ Foto RTM)