fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti cadangan BNM pelaksanaan 'gaji kehidupan wajar' - Sivakumar

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 2 Mac - Kerajaan akan meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pelaksanaan 'gaji kehidupan wajar' di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata Laporan Tahunan 2017 BNM menyarankan kadar gaji kehidupan wajar individu bujang dewasa yang menetap di bandar adalah RM2,700, manakala pasangan tanpa anak adalah RM4,500 dan pasangan dengan dua anak adalah RM6,500.

(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar)

"Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji secara teliti dan mengenal pasti model yang paling sesuai untuk negara kita," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim samaada kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan cadangan model gaji progresif.

Tambah Sivakumar, berhubung gaji progresif, satu kajian menyeluruh diperlukan agar ianya selaras dengan situasi ekonomi serta perburuhan semasa di Malaysia.

Katanya, pelaksanaan gaji progresif dan gaji minimum mempunyai objektif yang sama iaitu memberi perlindungan kepada pekerja yang menerima gaji terendah.

Setakat Disember lepas, Jabatan Tenaga Kerja telah mengeluaran 2,448 syor pematuhan pelanggaran Perintah Gaji Minimum (PGM).

Ini hasil pemeriksaaan terhadap 17,565 majikan di Semenanjung.

Media Baharu