(FOTO BERNAMA)
PUTRAJAYA, 10 April - Proses permohonan permit ekspatriat dipendekkan kepada lima berbanding tempoh semasa 87 hari bermula Jun ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata keputusan itu melibatkan permohonan baharu dan pembaharuan.
"Keputusan dalam dua peringkat yang ada banyak jawatankuasa dan digabungkan kepada satu sistem sekali gus dan sebenarnya itu yang memotong daripada 87 hari kepada lima hari sahaja."
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), di sini, petang tadi.
Pasukan itu menyasarkan untuk memendekkan proses berkenaan bagi mengatasi halangan dan birokrasi untuk pelabur yang masuk ke Malaysia.
(Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Platform Pasukan
Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) di Bangunan Perdana Putra hari ini/
Foto BERNAMA)
Ia terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu kumpulan mempunyai rekod yang baik dan menunjukkan pematuhan baik sekali gus mempunyai rekod penggajian pekerja asing yang lama.
Mesyuarat PEMUDAH juga bersetuju memendekkan dan menyeragamkan tempoh permohonan kebenaran merancang yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, kerajaan juga bakal melaksanakan projek rintis yang dikenali sebagai Akademi Dalam Industri pada Jun ini.
Program berkenaan memberi tumpuan dalam pelbagai bidang untuk melatih pekerja berkemahiran dan sebagai permulaannya, 10 syarikat besar dijangka akan terlibat dalam projek rintis tersebut.
Sejumlah 100,000 tenaga pekerja berkemahiran dianggarkan akan terlibat dalam program bertaraf nasional itu.