PUTRAJAYA, 10 April- Program 'World Quran Hour' mampu menjadi platform terbaik dalam memartabatkan Al Quran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia antara program pemantapan Al-Quran dan Sunnah bagi meningkatkan kefahaman serta penghayatan ajaran Islam yang sebenar.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Datuk Seri Dr Mohd Na'im Mokhtar)
"Program sebegini untuk menambah penghayatan, pemahaman kepada kedua-dua sumber yang penting ini. Maka, sama ada di pihak Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dan agensi-agensi kita ini perlu merancakkan lagi program yang melibatkan al-Quran dan juga sunnah nabi dengan harapan masyarakat kita akan lebih dekat dengan kedua-dua sumber yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai orang Islam yang beriman", katanya.
Beliau ditemui media dalam Program Sesi Temu bual sempena World Quran Hour di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar umat Islam sentiasa berhati-hati, dan mendapatkan sumber rujukan yang diiktiraf agar tidak terpengaruh dengan aliran terpesong serta menyeleweng.
Ia berikutan wujudnya pelbagai fahaman dan aliran yang mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ketika ini.