fb fb fb fb fb

Malaysia konsisten perjuang hak rakyat Palestin tolak keganasan, kekejaman - Zambry

(Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menyerahkan
memorandum kepada Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir/FOTO KLN)

PUTRAJAYA, 10 April - Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan setiap hak rakyat Palestin, berpaksi kepada keadilan dan menentang sebarang isu keganasan serta kekejaman.

Katanya, beliau telah beberapa kali bercakap mengenai isu Palestin termasuk di wawancara bersama dengan pihak Al-Jazeera.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau turut berharap pihak antarabangsa dapat merungkai sesuatu penyelesaian mengenai isu yang seperti tiada kesudahan ini.

Zambry berkata beliau turut menerima penyerahan memorandum Pemuda UMNO berhubung pendirian mereka yang mengutuk isu serangan Israel terhadap Palestin.

"Saya mengambil maklum usul yang dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta segala cadangan yang diberikan," katanya.

Kunjungan barisan kepimpinan Pemuda UMNO pada petang tadi diketuai Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan Exconya.

Pada Rabu, Polis Israel menyerang puluhan umat Islam di pekarangan Masjid al-Aqsa sebelum subuh.

Tindakan zalim itu mencederakan sekurang-kurangnya 12 jemaah dan menangkap kira-kira 350 yang lain.

(Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima kunjungan
barisan kepimpinan Pemuda UMNO petang tadi/FOTO KLN)

Media Baharu