KUALA LUMPUR, 6 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengingatkan bahawa tempoh pengecualian bayaran tol bagi pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan merentasi sempadan negara melalui plaza-plaza tol di Bangunan Sultan Iskandar, Tambak Johor dan Tanjung Kupang akan berakhir esok, 7 April 2022.
Justeru, bermula 8 April 2022, semua operasi kutipan tol akan berjalan seperti biasa.
Menerusi kenyataan media PLUS, pelanggan lebuhraya PLUS dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go serta e-Wallet Touch ‘n Go mereka aktif dan mempunyai baki yang mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati perjalanan yang lancar dan tidak terganggu apabila operasi kutipan tol tersebut bersambung.
Manakala, pelanggan lebuhraya yang menggunakan RFID untuk sistem VEP turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang.
(Foto fail)
"Bagi pemandu Singapura yang bercadang menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka di Johor, mereka boleh berbuat demikian di 8 pusat tambah nilai di lebuhraya Linkedua."
"Selain itu, terdapat banyak pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor," menurut kenyataan tersebut.
Secara amnya, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam turut menyediakan perkhidmatan menambah nilai kad Touch ‘n Go.
Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.