fb fb fb fb fb

Tiada aduan kenaikan harga barang di P.Pinang

SEBERANG PERAI, 6 April - Tiada aduan kenaikan harga makanan dan minuman diterima Kementerian Perdadangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sepanjang tempoh tiga hari Op Pantau di Bazar Ramadan setakat ini.

Pengarahnya, Ridzuan AB Ghapar berkata, pemeriksaan mendapati para peniaga menjual dengan harga berpatutan serta mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, pemantauan dilakukan setiap masa bagi memastikan peniaga tidak melanggar peraturan.

"Dalam tempoh tiga hari bermula Ahad lalu, sebanyak 20 Bazar telah dipantau dan diperiksa dalam tempoh tiga hari antaranya Bazar Ramadan Seberang Jaya, Bandar Perda, Bayan Baru dan Balik Pulau.

"Tumpuan kita adalah dari segi pematuhan peraturan khususnya penandaan tanda harga, dari segi timbangan yang sah, manakala dari segi harga kita akan tengok berdasarkan aduan yang kita terima.

"Sekiranya menerima aduan, kami akan membuat siasatan berdasarkan barang yang memang KPDNHEP kawal," katanya selepas menjalankan Ops Pantau di Bazar Ramadan Bandar Perda.

Seramai 121 pegawai penguatkuasaan ditempatkan di lapangan yang mana 62 daripada mereka merupakan pegawai pemantau harga bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna.

(Pengarah KPDNHEP, Ridzuan Ab Ghapar membuat pemantauan dan memeriksa bazar Ramadan di Bandar Perda/FOTO RTM)


“Kita harap peniaga kekal mematuhi peraturan yang ditetapkan sehingga akhir Ramadan.

“Selain itu, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak kami jika harga makanan yang dijual di bazar Ramadan tidak munasabah agar siasatan lanjut dapat dilakukan,” jelas beliau.

Media Baharu