fb fb fb fb fb

RAM Ratings: Persetujuan kerajaan b'kaitan penstrukturan semula konsesi beri harapan sektor lebuh raya

KUALA LUMPUR, 6 April - Persetujuan kerajaan terhadap cadangan penstrukturan semula melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang memberi harapan kepada sektor lebuh raya yang lebih luas, kata RAM Rating Services Bhd.

Cadangan itu, yang menyaksikan tiada lagi kenaikan kadar tol untuk empat lebuh raya di Lembah Klang, melibatkan konsesi lebuh raya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Terowong SMART), Kesas Sdn Bhd (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LDP).

Dalam satu kenyataan hari ini, RAM Ratings berkata penangguhan kenaikan tol yang berterusan dalam satu tahun dilaporkan menyebabkan kerajaan menanggung kos pampasan RM2.25 bilion sementara ruang fiskal yang semakin kecil menjadikan pemansuhan tol tidak munasabah, memandangkan jumlah pampasan yang tinggi perlu dibayar.

“Oleh itu, Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), dalam menawarkan untuk mengambil alih lebuh raya yang sebahagiannya dimiliki oleh Gamuda Bhd, pada pandangan kami, menunjukkan hasrat kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk menangani secara serius penstrukturan semula kadar tol di semua lebuh raya di seluruh negara menjelang akhir 2023, berdasarkan respons parlimen oleh Kementerian Kerja Raya.

“Jika berjaya, model penstrukturan ini boleh dijadikan pelan tindakan untuk rundingan lanjut dengan konsesi lebuh raya yang lain,” katanya. 

(FOTO Hiasan)

Agensi penarafan itu berkata cadangan penyelesaian ALR bagi memecahkan kebuntuan sektor itu, menerusi pengambilalihan empat lebuh raya yang sebahagiannya dimiliki oleh Gamuda dengan harga RM5.48 bilion, akan mencapai objektif yang berbeza tetapi melengkapi termasuk mengurangkan beban orang ramai daripada perspektif inflasi kos.

Cadangan itu juga memberikan sedikit penangguhan terhadap bil pampasan tahunan kerajaan yang melonjak bagi kadar tol berjadual yang tidak disemak, dan mengambil kira kepentingan pihak berkepentingan lain termasuk pemberi pinjaman dan pemegang saham, kata RAM Ratings.

Agensi itu juga menyatakan bahawa tempoh empat konsesi lebuh raya itu akan disusun semula dan dipanjangkan. - BERNAMA

Media Baharu