KUALA LUMPUR, 8 Julai - Tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan; khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tertakluk kepada tatacara ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi satu kenyataan memaklumkan proses berkenaan hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada.
AGC menyatakan pihaknya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lepas dan pelantikan itu masih perlu melalui beberapa formaliti.
"Pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur. Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar "konduit" yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman," jelas kenyataan tersebut.
Jabatan itu juga mengiktiraf kepentingan keyakinan rakyat dalam proses pemilihan kehakiman dan menegaskan prinsip kebebasan badan kehakiman sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Berhubung dengan kenyataan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi menurut Seksyen 13(2) Akta 695, AGC menjelaskan bahawa JAC boleh mengawal selia prosedurnya sendiri.
"Apabila terdapat keadaan mendesak, pada lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota. Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas," menurut kenyataan itu.
AGC menegaskan tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim ialah dakwaan yang serius.
Jabatan berkenaan menyatakan perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 ialah suatu perkara yang tidak wajar pada peringkat ini.
"Kes terbabit melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu. Keadaan itu berbeza dengan senario semasa yang tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan daripada aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti kukuh," menurut AGC.
AGC memaklumkan Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya, namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.
AGC menegaskan situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.