KUANTAN, 8 Julai -Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 207.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuantan, tengah malam tadi.
Kemalangan melibatkan motosikal dan dua kenderaan pacuan empat roda.
Mangsa, Megat Omar Ali Harris, 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Manakala, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Supritenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, kesemua kenderaan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa yang berada di lorong kiri dipercayai terbabas ke lorong kanan, lalu dirempuh dua pacuan empat roda yang tidak sempat mengelak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.