fb fb fb fb fb

Tempoh kelulusan S-MM2H dipendekkan, atasi permohonan tertunggak

KUCHING, 14 Disember - Sarawak akan memendekkan tempoh kelulusan bagi permohonan program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H) dalam usaha mengurangkan kes-kes tertunggak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya akan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi isu proses kelulusan yang mengambil masa agak lama, dilaporkan sehingga lebih daripada lapan bulan.

"Untuk langkah permulaan proses tersebut bakal dipendekkan ke tiga bulan dan ditambah baik sehingga boleh mencapai hanya sebulan.

"Ketika ini jumlah kes yang tertunggak agak tinggi berikutan peningkatan permohonan yang melonjak sejak dua tahun lepas," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Aramaz S-MM2H One Stop Centre di sini hari ini.

Tambahnya, S-MM2H semakin dikenali terutama dalam kalangan pesara dari negara-negara luar termasuk Taiwan, United Kingdom dan Hong Kong dengan bandaraya Kuching dan Miri sebagai destinasi pilihan utama.

Setakat ini terdapat lebih 2000 peserta memilih Sarawak kerana negeri ini amat kondusif, stabil dari aspek politik dan ekonomi serta mempunyai masyarakat pelbagai kaum yang fasih berbahasa Inggeris serta Mandarin.

GRACE AISYAH KEDAYAN