fb fb fb fb fb

Dewan Negara: Sistem PADU fasa pertama tertumpu kumpul informasi dan data

Sistem PADU menyediakan gabungan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara yang mampu menyalurkan data secara terperinci mengenai bantuan diterima oleh rakyat/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi fasa pertama tertumpu kepada pengumpulan informasi dan data kementerian serta agensi di bawah Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, PADU mengintegrasikan data mikro daripada pelbagai agensi kerajaan bagi mewujudkan profil individu dan isi rumah setiap rakyat di negara ini.

"Kerjasama dan sokongan semua pihak, terutama rakyat adalah sangat penting bagi memastikan keberhasilan PADU. Dengan adanya data individu dan isi rumah yang lengkap, PADU akan membantu kerajaan merangka dasar dengan lebih berkesan dan berpacukan data serta menambah baik pelaksanaan inisiatif agar lebih bersasar.

"Ini sekaligus akan meningkatkan kemampanan kedudukan fiskal negara dalam menyediakan bantuan kepada rakyat, terutama bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup," katanya di Dewan Negara hari ini yang menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai pelaksanaan PADU.

Keperluan PADU di peringkat negeri memerlukan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengumpul data mengkaji pendapatan, pencen penjawat awam negeri serta bantuan khusus.

Sementara itu, bagi Majlis Agama Islam pula berkaitan maklumat status perkahwinan dan penceraian serta agensi zakat negeri serta pemberian dan penerima zakat.

Sistem PADU menyediakan gabungan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara yang mampu menyalurkan data secara terperinci mengenai bantuan diterima oleh rakyat.

PADU menggabungkan lebih 200 pangkalan data untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei lalu, berkata pelaksanaan PADU itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi mengenal pasti wujudnya ketirisan sekali gus menambah baik pelaksanaan sistem subsidi kepada golongan sasaran.

GRACE AISYAH KEDAYAN