fb fb fb fb fb

Teliti lapan resolusi, perkukuh peranan agensi agama - Na'im Mokhtar

Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 13 September - Sebanyak lapan resolusi penting bakal diteliti sebelum dilaksanakan bagi memperkukuh peranan agensi agama dalam tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, resolusi itu disyorkan menerusi Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam kali ketiga yang diadakan pada 9 September lalu.

"Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam yang diadakan pada 9 September 2025 pula telah menghimpunkan pegawai dan kakitangan agama dari seluruh negara.

"Hasilnya, beberapa resolusi penting berjaya dirumuskan untuk diteliti dan dilaksanakan bersama, demi memperkukuh peranan agensi agama dalam tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan Islam kepada masyarakat", katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) di sini, hari ini.

Tambahnya, resolusi itu termasuk memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam, memperluas jaringan kerjasama strategik dan kolaborasi serta melestari transformasi perkhidmatan hal ehwal Islam.

Selain itu katanya, ia bagi membangunkan kompetensi menyeluruh, menstrukturkan pembangunan organisasi, menambah baik infrastruktur dan penyelenggaraan di institusi agama.

Tambah beliau, jaringan maklumat dan data juga akan diperkukuh menerusi reformasi digital secara bersepadu antara agensi agama serta agensi lain agar kebolehcapaian data dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan tepat.

Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 merupakan antara pengisian IJPAM 2025 yang diadakan di Johor selama enam hari bermula 8 September lalu dengan menghimpunkan 20 agensi agama dan 2,400 penyertaan.

Turut diadakan Seminar Halal Serantau, Pameran Perkhidmatan dan Industri Halal sempena Seminar Halal Serantau, Program Semarak Subuh dan Fun Run serta Kejohanan Sukan.

Trainee