fb fb fb fb fb

Amalan gaya hidup sihat di Terengganu terus dipergiat

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 13 September - Inisiatif membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di Terengganu terus dipergiat.

Fokus diberi kepada aspek fizikal, mental dan kebersihan persekitaran, bagi menggalakkan masyarakat hidup lebih cergas dan berkualiti.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, pelbagai program diadakan menerusi Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat serta Bulan Malaysia Sihat Sejahtera.

Tumpuan utama adalah pertandingan pengurusan berat badan yang dijalankan selama enam bulan bagi memberi kesedaran terhadap risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit.

Peserta yang berjaya menurunkan sehingga 20 kilogram ke atas diberi penghargaan khas. Inisiatif itu secara tidak langsung menambah baik produktiviti kerja serta kualiti hidup rakyat.

"Penekanan yang lebih kepada masalah berat badan ini. Jadi kita mengadakan program pengurusan berat badan, terutamanya kita memilih mereka-mereka yang ada berat badan berlebihan dan juga obesiti.

"Kita hendak memastikan mereka-mereka ini berat badannya adalah berada di tahap normal dan juga seterusnya mengelakkan daripada mendapat penyakit-penyakit tidak berjangkit. Jadi apabila kita berada di berat badan yang normal ini dari segi produktiviti, kualiti kerja juga boleh kita tingkatkan", katanya.

Terdahulu beliau menghadiri program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di Kuala Terengganu.

Penganjuran program berkenaan juga membantu mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit di negeri itu.

ROSLINA BINTI DIN