KUALA KRAI, 13 September - Sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan program berskala kecil di 506 Perpustakaan Desa seluruh negara menerusi inisiatif Program Sentuhan Komuniti Bestari anjuran Kementerian Perpaduan Negara bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Usaha ini turut seiring dengan dapatan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023, yang menunjukkan purata rakyat Malaysia kini membaca 24 naskhah buku setahun, berbanding hanya 15 naskhah pada tahun 2014.
Kajian oleh PNM itu juga merekodkan 85.4 peratus rakyat Kelantan mengamalkan tabiat membaca.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan budaya membaca, literasi digital serta perpaduan komuniti secara inklusif melibatkan semua lapisan masyarakat.
"Program ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya manifestasi komitmen kerajaan memperkasa komuniti luar bandar melalui ilmu, warisan dan perpaduan sejajar aspirasi Malaysia MADANI", katanya dalam ucapan di Program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bestari @ Dabong, di Padang Awam, Kuala Gris, di sini, hari ini.
Penganjuran edisi Dabong kali ini juga merupakan kesinambungan daripada kejayaan sulung di Beaufort, Sabah pada 2024, dengan kereta api dijadikan simbol mobiliti ilmu yang menghubungkan komuniti luar bandar dengan pusat bandar, selain melambangkan perpaduan masyarakat.