fb fb fb fb fb

JPJ Kelantan perhebat operasi kesan 'roktu', bendung salah guna ICP

Mohd Misuari Abdullah

KOTA BHARU, 13 September - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam melaksanakan operasi penyalahgunaan permit edaran antarabangsa (ICP).

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi itu akan menumpukan kepada kenderaan persendirian yang membawa penumpang untuk tujuan pelancongan terutama van persendirian dari Thailand.

Operasi mengesan van tersebut yang lebih dikenali sebagai 'roktu' sentiasa dilaksanakan namun lebih dipergiatkan ketika musim cuti persekolah dan perayaan.

Selain operasi bersepadu, Op Tunggak yang dikuatkuasakan sejak awal tahun ini masih dijalankan sehingga sekarang dan terbaharu, dua roktu disita pada Ogos lalu kerana salah guna ICP.

"KITA akan melaksanakan operasi MOTAC bagi menangani isu penyalahgunaan kenderaan persendirian untuk tujuan pelancongan tanpa permit sah.

"Setakat ini, tindakan yang diambil melibatkan penyalahgunaan ICP, iaitu hanya dibenarkan untuk kenderaan persendirian. Namun, apabila ia digunakan bagi tujuan pengangkutan penumpang pelancongan, maka ia menjadi satu kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Merdeka Persatuan Institut Memandu Kelantan (PIMK) dan JPJ 2025 di Kompleks Sukan dan Belia Panji, di sini.

Pihaknya akan melaksanakan operasi di sekitar pintu masuk sempadan negara terutamanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah yang dikesan menjadi laluan aktif roktu.

Pintu sempadan seperti ICQS Rantau Panjang juga turut dipantau bagi memastikan tiada penyalahgunaan ICP.

Pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan kerana pihaknya menerima banyak aduan kesalahan menerusi maklumat dan gambar yang dihantar pengguna jalan raya lain.

Tindakan akan dikenakan berasaskan bukti gambar yang dilaporkan melalui e-mel, Whatsapp serta Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) berserta lokasi dan waktu.

Setakat ini, JPJ akan mengeluarkan 114 notis iaitu temu siasat dan sahkan kenderaan dan sekiranya tidak dipatuhi, saman ingkar akan dikeluarkan namun jika masih tidak hadir ke JPJ maka tindakan senarai hitam akan dilaksanakan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI