fb fb fb fb fb

134,916 kes dadah direkod, Kelantan catat kadar tertinggi

Foto FB AADK

BESUT, 13 September- 134,916 kes penyalahgunaan dadah direkodkan sejak Januari hingga Jun tahun ini di seluruh negara. 

Jumlah itu menunjukkan penurunan 8.8 peratus berbanding 148,015 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara dadah yang sering digunakan ialah dadah jenis methamphetamine, ecstacy dan amphetamine.  

Pelbagai inisiatif dilakukan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah termasuk penglibatan komuniti dalam kempen kesedaran bermula diperingkat sekolah lagi.

Kelantan mencatat kadar kes dadah tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah.

"Negeri-negeri ini mempunyai persamaan iaitu bersempadan dengan Thailand. Selain itu, majoriti individu yang terjebak dengan masalah dadah terdiri daripada golongan berumur antara 15 hingga 35 tahun, iaitu usia yang sangat produktif.

Sekiranya mereka tidak terlibat dengan gejala ini, mereka sepatutnya menjadi sebahagian daripada tenaga kerja produktif negara. Daripada kira-kira 17 juta tenaga kerja di Malaysia, kelompok usia ini adalah yang paling bernilai, tetapi tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya akibat masalah tersebut," kata Datuk Seri Saifuddin kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kampung Angkat dan Sekolah MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Keluang Besut.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan geran bernilai RM1 juta kepada wakil Pegawai Daerah Besut manakala RM100,000 diserahkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Keluang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM