KOTA BELUD, 16 Januari- TEKUN Nasional, agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan untuk membantu 5,300 usahawan di Sabah dengan nilai pembiayaan RM150 juta, tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pada tahun lalu sejumlah RM149 juta telah disalurkan kepada 2,884 usahawan TEKUN di negeri tersebut.
Dalam tempoh sama, RM11 juta disalurkan kepada 158 usahawan bagi Parlimen Kota Belud.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional, hari ini.
"Secara keseluruhan, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan bernilai RM1.1 billion kepada 65,642 usahawan di Sabah, sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Disember 2024.
"Pencapaian ini membuktikan TEKUN terus relevan dan menjadi pilihan akses pembiayaan dalam kalangan usahawan informal dan mikro di negara ini,” katanya.
Mengulas mengenai Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional, Datuk Ewon memaklumkan tahun lalu, 1,026 siri seminar Asas Keusahawanan disasarkan untuk dilaksana di seluruh negara dengan penglibatan 300,401 usahawan.
Bagi tahun ini, enam siri seminar keusahawana akan dilaksana di Sabah dengan sasaran penglibatan 1,800 usahawan.