fb fb fb fb fb

Tekong warga Thailand hilang, bot karam dipukul ribut di perairan Kemaman

Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KEMAMAN, 26 Jun – Seorang tekong warga Thailand dilaporkan hilang di laut selepas bot yang dinaikinya dipercayai karam dalam satu kejadian ribut malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 33 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman, Terengganu.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam tadi, bot dinaiki mangsa yang dikenali Wongnguan Supot, 53 tahun dipercayai tenggelam selepas mangalami kebocoran kerana dipukul ombak besar.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah, dalam satu kenyataan berkata, mangsa keluar menangkap ikan dengan bot pukat unjang bersama sebuah lagi bot pukat tunda sejak dua minggu lalu.
 
Ketika sedang berlabuh dan melakukan aktiviti menangkap ikan, mangsa dikatakan sempat berhubung dengan sebuah bot berhampiran memaklumkan botnya mengalami kebocoran dan dimasuki air.
 
Menurut Komander Maritim Abdul Halim, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu pukul 9.00 pagi tadi.
 
Sebuah bot Perkasa 49 telah digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 9.20 pagi tadi, namun apabila tiba di lokasi, bot mangsa ditemukan karam dan mangsa tiada di kawasan itu.
 
Komander Maritim Abdul Halim berkata, pangkalan hadapan carilamat turut diaktifkan di Pejabat Zon Maritim Kemaman untuk menyelaras operasi SAR yang turut melibatkan beberapa agensi.
 
APMM turut menggunakan bantuan pesawat udara untuk melakukan pencarian dari udara di sekitar kawasan lokasi kejadian.
 
Operasi SAR sehingga kini tidak menemukan sebarang petunjuk dan meminta komuniti nelayan yang mempunyai sebarang maklumat segera menghubungi pusat operasi di talian 011-1339 0521.
 

ROSLINA BINTI DIN