fb fb fb fb fb

Pakar pembiayaan perlu sertai jawatankuasa khas kesihatan

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Penubuhan jawatankuasa bersama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan bagi menangani isu peningkatan kos rawatan kesihatan wajar melibatkan pakar pembiayaan dan perkhidmatan kesihatan tempatan.

Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid berpandangan penglibatan pakar yang berpengalaman luas dalam sektor kesihatan adalah penting bagi merangka sistem pembiayaan yang mampan, inklusif dan mudah diakses oleh seluruh rakyat.

“Kita mempunyai pakar tempatan yang pernah terbabit dalam pelaksanaan insurans kesihatan nasional di negara-negara seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam. Kepakaran mereka boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti sistem pembiayaan sesuai, kaedah pengiraan premium dan mekanisme pembayaran yang efisien kepada penyedia perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan turut disertakan dalam jawatankuasa tersebut bagi memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mendapat akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti serta mampu milik.

Penubuhan jawatankuasa berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Simposium Sasana 2025 yang berlangsung hari ini, sebagai satu usaha jangka panjang untuk mengekalkan daya tahan dan keadilan dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN