fb fb fb fb fb

Teknologi hijau, 4,230 projek diluluskan bernilai RM41 bilion sehingga 2023

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 2 April - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 4,230 projek teknologi hijau bernilai RM41 bilion, sehingga 2023.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata pendekatan keseluruhan menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam pelaburan teknologi hijau.

Beliau berkata, insentif teknologi hijau juga telah ditambah baik melalui pendekatan berperingkat untuk menggalakkan lagi pelaburan dalam teknologi tersebut.

"Insentif tersebut kini meliputi aktiviti pelaburan hijau yang lebih meluas, termasuk Hidrogen Hijau, Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Tenaga Angin.

"Penambahbaikan ini bertujuan merangsang pelaburan syarikat-syarikat baharu dan sedia ada bagi mendorong pencapaian negara neutral karbon menjelang tahun 2050," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Hoe Chai.

Tambah Liew, menerusi Belanjawan 2024 insentif cukai diperuntuk kepada syarikat yang menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN