fb fb fb fb fb

Teknologi AI percepat urusan imigresen, kukuh keselamatan negara

Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik JIM, Norlizawaty Abdu Samad

KUALA LUMPUR, 17 Julai- Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) semakin memainkan peranan penting dalam usaha Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mempertingkat kawalan sempadan dan keselamatan negara.

Menurut Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik JIM, Norlizawaty Abdu Samad, jumlah pergerakan keluar masuk negara kini mencecah lebih 100 juta setahun, justeru pendekatan konvensional tidak lagi relevan.

"Malaysia kini menuju ke arah menjadi pusat pelancongan dan akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 serta mempengerusikan ASEAN 2025.

Ini menjadikan kawalan sempadan lebih mencabar," kata Norlizawaty ketika ditemui pemberita selepas beliau menjadi tetamu khas program Selamat Pagi Malaysia di TV1, hari ini.

Jelas beliau, elemen AI telah pun diterapkan di pintu masuk utama negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penggunaan laluan 'auto gate'
berasaskan sistem Kod Respons Pantas (QR).

"Autogate ini menggunakan sistem AI bagi proses pelepasan imigresen dan berjaya mempercepatkan masa pemeriksaan dari lima minit kepada hanya lima hingga tujuh saat," katanya.

Tambahnya, pelaksanaan teknologi itu merupakan perubahan drastik yang meningkatkan kecekapan dan keselamatan negara secara serentak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM