fb fb fb fb fb

Malaysia kecam serangan udara Israel di Damsyik

Zionis Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di ibu kota Syria, Damsyik yang memusnahkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan dan menyerang kawasan berhampiran Istana Presiden/Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu Israel di Damsyik yang jelas melanggar kedaulatan Syria serta mengorbankan orang awam tidak bersalah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan Israel itu merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.

“Syria telah melalui penderitaan yang amat dahsyat sepanjang dekad lalu. Rakyatnya berhak menikmati keamanan, bukan keganasan mahupun campur tangan kuasa luar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia berdiri teguh menyokong rakyat Syria dan menggesa agar pencabulan sedemikian dihentikan segera.

Beliau turut menyeru semua pihak menghormati prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.

Terdahulu, Zionis Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di ibu kota Syria, Damsyik yang memusnahkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan dan menyerang kawasan berhampiran Istana Presiden.

Serangan berlaku selepas tentera kerajaan menyerang kaum Druze di selatan Syria.

Serangan oleh Israel semakin ketara kebelakangan ini ketika Syria di bawah pentadbiran sementara pimpinan Presiden Ahmed al-Sharaa, meskipun hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) semakin rapat.

GRACE AISYAH KEDAYAN