KUALA LUMPUR, 28 Mei - Negara perlu melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mahir dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti jurutera AI, penganalisis data, guru digital dan penjawat awam yang memahami keseluruhan ekosistem AI.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata teknologi tersebut bukan lagi satu pilihan, sebaliknya telah menjadi keperluan kritikal dalam memperkukuh keselamatan negara dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam.
“Kita tidak boleh lagi melihat AI sebagai alat tambahan. Ia kini menjadi tulang belakang dalam membentuk dasar berasaskan data, menyelesaikan masalah rakyat serta menjangkakan ancaman keselamatan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi 2025 ASEAN-GCC di ibu negara hari ini.
Saifuddin turut mendedahkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menerima lebih 400,000 laporan setiap bulan dan telah menggunakan sistem AI untuk memadankan bukti dengan peruntukan undang-undang, sekali gus mempercepatkan penyediaan kertas siasatan serta pertuduhan.
Tambahnya, sistem pengecaman wajah berasaskan AI yang dipasang di pintu masuk utama negara juga telah berjaya mempercepat proses semakan identiti kepada hanya tiga saat.
“Ia mempercepatkan aliran masuk di pintu imigresen dan dalam masa yang sama, mengenal pasti identiti palsu serta individu berisiko secara masa nyata,” ujarnya.
Datuk Seri Saifuddin turut menegaskan bahawa pelaburan dalam pembangunan modal insan adalah faktor utama untuk memastikan teknologi AI dapat digerakkan secara menyeluruh bukan sahaja dalam sektor perniagaan, malah dalam menangani isu-isu rakyat seperti jenayah, keselamatan sempadan dan keberkesanan sistem pentadbiran kerajaan.