fb fb fb fb fb

Tekanan kenaikan harga barang, pengeluaran bahan makanan perlu ditingkatkan - Annuar Musa

(FOTO HIASAN)

KOTA BHARU, 22 Oktober - Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan bersidang minggu depan bagi membincangkan mengenai tekanan berkait kenaikan harga barang dan bekalan menjelang musim tengkujuh.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata persiapan segera perlu dibuat memandangkan kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat yang semakin tinggi akan menyebabkan peningkatan harga barangan import yang boleh memberi tekanan inflasi kepada negara.

Katanya, antara langkah yang boleh dilaksanakan segera ialah dengan meningkatkan pengeluaran dalam negara terutamanya melibatkan produk - produk yang berkait dengan bahan-bahan makanan.

(Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa)

“Antara yang boleh memainkan peranan adalah usahawan dan peserta-peserta Amanah Ikhtiar Berhad (AIM) dengan meningkatkan barang makanan yang bersifat import subsidi dan gantian import.

"Ini termasuk juga telur, ayam, ayam kampung sebagai alternatif, jadi kalau kita dapat tingkatkan kapasiti pengeluaran barang-barang sedemikian ia boleh dengan sendirinya mengurangkan import atau mengurangkan tekanan harga apabila barang import tidak sampai,"katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Himpunan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Wilayah Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini.

Tambah Annuar, penggunaan teknologi dalam pertanian secara intensif termasuk ‘vertical farming’ juga perlu digunakan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan.

“Penggunaan internet pelbagai benda (IoT) dalam sektor agromakanan yang banyak dipromosikan ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) baru-baru ini juga dapat membantu menangani kekurangan bekalan serta tekanan kenaikan harga barang," katanya.

Media Baharu